TOKOH GURU
Encik Abdul Salim bin Adam dilahirkan di Sungkai, Perak pada 13 Mac 1956. Menetap di Batu Buruk, Kuala Terengganu bersama isteri tersayang, Noriah binti Yaacob. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga orang anak dan dua orang cucu.
Mendapat pendidikan awal di SK Bikam, Sungkai, Perak dan meneruskan pendidikan menengah di SMK Sheikh Abdul Ghani, Bidur, Perak sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1974. Manakala pada tahun 1991, beliau memperoleh Sijil Perguruan dari Maktab Teknik, Cheras, Kuala Lumpur.
Sebelum menceburi bidang kerjaya perguruan di SK Sungai Berua, En.Abdul Salim pernah berkhidmat sebagai Pembantu Luar Hal Ehwal Orang Asli di Kuala Terengganu. Pengalaman beliau berkaitan dengan Orang Asli menjadikan beliau sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli Sungai Berua.
En. Abdul Salim telah berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran di SK Sungai Berua selama 17 tahun. Peluang kenaikan pangkat daripada gred DGA32 (KUP) kepada gred DGA32 (Hakiki) menyebabkan beliau ditukarkan ke SK Tok Dir, Kuala Terengganu sebagai Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum pada Oktober 2010.
Sepanjang berkhidmat di SK Sungai Berua, beliau telah mendapat sebanyak tiga kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) iaitu pada tahun 1999, 2005 dan 2010. Dalam pasukan badan beruniform pula, beliau merupakan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuala Terengganu. Malah, beliau telah dikurniakan Pingat Pengakap Lama Berkhidmat oleh Pemangku Raja Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun 2009 kerana penglibatan beliau yang terlalu lama dalam Persekutuan Pengakap Malaysia.
Diperingkat komuniti, beliau merupakan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Kampung Ladang, Kuala Terengganu. Malah, beliau juga merupakan Setiausaha UMNO Cawangan Ladang, Kuala Terengganu. En.Abdul Salim juga memegang jawatan Setiausaha Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Sebagai seorang guru yang paling lama berkhidmat di SK Sungai Berua, beliau tidak dapat melupakan kenangan manisnya ketika proses pengislaman beramai-ramai penduduk Orang Asli Kampung Sungai Berua pada tahun 1994. Manakala cabaran hidup sebagai seorang guru pada awal penubuhan sekolah ini iaitu sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran Malaysia, merupakan pengalaman pahit yang sangat berharga buat beliau. Ini kerana pada awal penubuhan SK Sungai Berua, segala kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan tenaga elektrik tidak disediakan.
Falsafah hidup beliau ialah ‘Buat Sehabis Baik’. Beliau juga mengukilkan kata-kata hikmah sebagai motovasi untuk warga Berua iaitu ‘betulkan yang biasa dan biasakan yang betul’. Sesungguhnya SK Sungai Berua sangat dekat dihati beliau walaupun beliau telah bertukar ke sekolah lain.
Terima kasih Cikgu Salim.
No comments:
Post a Comment